Welcome to my Bl0g!

Assalamualaikum...!

Diucapkan selamat datang kepada anda semua..
Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya..
Diharap anda semua akan mendapat manfaat yang sewajarnya semasa mengunjungi blog saya..
Jangan lupa untuk 'Post Comments' selepas anda membaca 'Posts' saya...

Sekian terima kasih..

Dec 14, 2010

Anakku mahu kahwin by Saifulislam.com

Saya mahu menjadi seorang doktor.
Saya mahu menjadi seorang askar.
Saya mahu menjadi seorang guru.
Itulah kata-kata kita semasa di usia kanak-kanak. Disoal tentang cita-cita dan kerjaya. Dewasa nanti mahu jadi apa.

Selalunya seorang budak itu akan dipengaruhi oleh apa yang paling mengujakan dirinya. Mungkin seronok melihat aksi tentera. Teruja barangkali menyaksikan polis berseragam kemas dengan kereta yang boleh dipecut sesuka hati. Atau jatuh hati dengan guru yang bijak mengambil hati.
Anak-anak sangat telus dalam mengungkapkan apa yang mendominasi minda.
Kata-kata itu melambangkan siapakah yang sedang mempengaruhi dirinya.
PERBUALAN LUAR BIASA
“Abi, nanti Yop nak kahwinlah!” kata anak saya, Saiful Islam.
Saya terkejut. Menoleh ke arahnya. Mahu tergelak pun ada. Perbualan saya bersama beliau petang itu sangat menggelikan hati. Kami sama-sama menaiki bas dari LCCT menuju ke KLIA. Hanya kami berdua. Suasana lapang di sisi landasan KLIA dan pemandangan pesawat mendarat juga berlepas, menyebabkan kami berkhayal entah ke mana.
“Boleh. Kenapa Yop nak kahwin?” saya cuba memanjangkan perbualan yang pelik itu.
“Nanti Yop boleh jadi ayah macam Abi” jawabnya.
“Kalau nak jadi macam Abi, kena kahwin dengan perempuan yang betul. Yop nak kahwin dengan siapa?” saya bertanya lagi.
“Kahwin dengan perempuanlah” katanya, tegas.
“Perempuan yang macam mana?” saya pula yang galak menyoal.
“Macam Ummilah!” jawab Saiful Islam.
Anak itu berusia 6 tahun. Usia yang mula memerhati sekelilingnya.
SYUKUR
Saat itu amat mencetuskan rasa bangga dan syukur kerana anak saya bukan mahu menjadi seorang jurutera, peguam, tentera, guru, malah tidak juga ustaz. Dia mahu menjadi saya. Bapanya, dan suami kepada ibunya. Mungkin kerana saat saya paling menjadi saya, adalah semasa saya berada di sisi isteri, dan anak-anak kurniaan Ilahi.
Menjadi seorang suami dan bapa, adalah pencapaian paling besar di sepanjang hidup ini. Ia sangat mengajar untuk saya terus memperbaiki diri, belajar sebelum mengajar, memimpin diri sebelum menjadi pemimpin.
Terima kasih Allah… Alhamdulillah!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Antara anak dengan hukuman

“Siapa pecahkan pinggan ini?” si ibu menjerit.

Anak-anaknya yang berderet itu membatukan diri.

Mustahil ada yang mahu mengaku.

“Siapa buat? Kak Long? Angah? Siapa yang buat?” si ibu yang sedia letih itu melempiaskan amarahnya.

Kak Long, Angah, Achik, semua mereka mendiamkan diri. Jantung masing-masing berdegup kencang.

Ibu yang keletihan mencari pesalah, akhirnya mengambil jalan mudah. Ketiga-tiga anaknya dihukum. Mereka dicubit seorang demi seorang.

“Yang bersalah tidak mengaku. Yang tahu siapa yang bersalah bersubahat tidak mahu memberitahu. Semua salah!” ibu cuba melogikkan tindakannya menghukum mereka bertiga.

JERITAN BIASA

Jeritan itu adalah jeritan yang biasa kita dengar di rumah.

Mungkin rumah orang, mungkin rumah kita.

Apabila berlaku sahaja sesuatu yang tidak kena, soalan yang spontan keluar, “siapa yang bersalah?”

Soalan seperti ini melayangkan mesej yang jelas bahawa ia akan berakhir dengan hukuman. Sama ada kesemua mereka mengambil tindakan mendiamkan diri, atau mereka mungkin segera saling menunding jari. Kita sebagai ibu bapa yang terkeliru, enggan malu kerana gagal menyelesaikan puzzle itu, lalu mengambil jalan mudah menghukum mereka semua.

Kebijaksanaan kita sebagai orang dewasa, menerbitkan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan keadaan.

Namun tahap pemikiran anak-anak hanya berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan yang membinasakan.

Mereka saling bermusuhan, saling salah menyalahkan, malah belajar menipu kerana terdesak mengendalikan rasa takut yang berlaku.

PRIMUM NON NOCERE

Situasi ini mengingatkan saya kepada satu ungkapan yang sering disebut oleh ahli psikologi malah para doktor di Wad Kecemasan. Kata mereka, “Primum non nocere!” Maksudnya ialah “paling penting, jangan memudaratkan!”

Apa-apa sahaja yang berlaku, pastikan tindakan yang mahu diambil jangan memudaratkan. Ada kalanya, dalam kes-kes di hospital adalah lebih baik untuk tidak memberikan rawatan, berbanding bertindak sesuatu yang mencetuskan mudarat ke atas pesakit. Ia adalah etika perubatan yang penting.

Sama juga halnya dalam proses mendidik anak-anak.

Apa-apa tindakan yang mahu diambil, pastikan jangan ia berakhir dengan kemudaratan. Tatkala kita gagal memutuskan tindakan paling tepat, amat malang jika tindakan kita tidak melontarkan mesej yang betul, sebaliknya menyemai rasa benci dan mahu membalas dendam.

Saya sendiri pernah bertemu dengan anak remaja yang berkhayal mahu terbabit dalam upacara pengebumian bapanya, untuk kepuasan diri!

PSIKOLOGI PENUMBUK

“Aah, ustaz. Saya tak makanlah cadangan-cadangan ustaz. Bagi saya, ini dia namanya psikologi!” kata seorang lelaki sambil menggenggam penumbuk di tangannya.

“Anta technician elektrik, kan?” saya bertanya.

“Ya. Saya jaga bahagian komputer-komputer di makmal kampus ini!” katanya.

“Kalau komputer rosak, anta guna ke penumbuk itu sebagai psikologi untuk memperbaikinya?” saya melontar soal.

“Mana boleh. Komputer mesti diperbaiki mengikut manual” jawabnya tegas. Menghormati profesyennya sendiri.

“Habis kalau anak bermasalah, apakah tiada manualnya lalu diperbaiki hanya dengan penumbuk itu?” saya menyudahkan soalan.

Sepi.

Beliau diam.

Saya pun diam.

Saya bukan marahkan lelaki itu.

Saya marahkan diri saya sendiri. Seorang bapa yang semakin bertambah anak, semakin anak membesar, semakin hilang kepercayaan kepada manual membetulkan tingkah laku anak-anak. Mahu mencari penyelesaian segera. Penyelesaian yang sering berakhir dengan kemudaratan. Anak tidak belajar sesuatu, sebaliknya menambah dendamnya terhadap kita yang semakin gagal menangani dia.

Bukan kerana buruk niat dan tujuan.

Tetapi kerana tiada kemahiran.

Kemahiran yang tidak datang sendiri. Kemahiran yang mesti dipelajari. Dari semasa ke semasa.

CIKGU JATUH

Puan Sabariah adalah guru senior di sebuah sekolah.

Orangnya berhemah. Tidak pernah menjatuhkan harga diri.

Tetapi hari itu dia tergelincir dan jatuh terlentang di depan kelas.

Sakitnya bukan kepalang.

Tetapi sakit hatinya berganda-ganda lagi apabila murid-murid mentertawakan dia.

Puan Sabariah bangun perlahan-lahan dan kemudian berdiri tegak membetulkan diri.

“Itu pelajaran pertama saya kepada awak hari ini. Sesiapa sahaja dalam hidup ini boleh jatuh dalam kehinaan, tetapi dia mampu bangkit dan berdiri teguh semula!” katanya dengan penuh hemah dan ketegasan.

Kelas sepi.

Ulasan itu sangat berhikmah.

Puan Sabariah menunjukkan betapa ketawa anak muridnya tidak mampu dibersihkan dengan tengkingan atau kemarahan. Sebaliknya dengan sedikit kesabaran, dia membetulkan keadaan dengan kebijaksanaan. Dengan hikmah.

Hikmah yang kita perlukan sebagai ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.

HIKMAH KENABIAN

Semasa bapa saudara kepada Abu Rafi ibn Amr al-Ghifari seorang anak kecil, beliau gemar membaling batu ke pokok-pokok tamar kaum Ansar.

Budak itu dibawa mengadap Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Beliau takut. Bimbang dihukum oleh Baginda.

“Wahai budak, mengapa kamu membaling batu ke pokok-pokok tamar itu?” Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.

“Saya membaling batu ke pokok-pokok tamar itu kerana mengharapkan buah tamar gugur dan saya boleh memakannya” jawab budak itu.

Jujur.

Bukan jahat, tetapi bingung pada usianya.

“Jangan baling batu ke pokok-pokok tamar. Tetapi makan sahajalah apa-apa yang sudah (ranum dan) gugur di bawahnya” nasihat Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Lalu Baginda mengusap kepala budak itu sambil berdoa, “Ya Allah, kenyangkanlah budak ini”

Baginda sentiasa demikian.

Konsisten.

Mempamerkan bahawa komunikasi efektif adalah cara terbaik pada membetulkan keadaan.

Jauh dari hukuman yang jarang-jarang sekali menawarkan penyelesaian.

SALING MEMBERANAKKAN

Salah laku dan hukuman bukan antonim yang saling membatal dan menyelesaikan. Malah kedua-duanya memberanak dan menyuburkan lagi antara satu sama lain. Salah laku memberanakkan lebih banyak hukuman semberono. Hukuman semberono membanyakkan lagi salah laku. Hukuman yang tidak tepat tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia mengajar anak-anak untuk lebih bijak dan licik melepaskan diri.

Siapa kata mendidik anak mudah?

Pastinya, saya tidak pernah berani berkata begitu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Bercouple caa islam

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?
Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.
Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau mencintai dan dicintai.
Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.
Ustaz Hassan Din telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".
Masyarakat Sudah Lari
Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari daripada syariat yang sepatutnya.
"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang.
Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.
Konsep Meminang
Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, "Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas.
Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.
Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.
Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.
Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perigi Cari Timba
Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.
Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.
Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah.
Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?
Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.
Indahnya Cara Islam
Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

Kisah cinta di FACEBOOK

Kehadapan suamiku yang aku cintai kerana Allah... hari ni genap setahun aku mengenali dirimu... walaupun melalui Facebook, kita mesra... seolah-olah sudah lama mengenali... rupa-rupanya kamu adalah senior di sekolah dulu...
Mungkin kita pernah bersua, berselisih jalan, beratur di barisan yang sama 10 tahun lepas... namun, siapa sangka siapa menduga... perkenalan yang tidak pernah terjadi 10 tahun lepas... menemukan jodoh kita...
Alhamdulillah... kita ditemukan dengan kemajuan teknologi... melalui Facebook... di bulan syawal... perkenalan yang tidak dirancang...
"Salam... pernah ke kita bersua? Kenapa awak add saya?"
Aku menjawab : "Gerak hati?? Tak tahu nak kata... saya masih di Selangor... awak ni senior sekolah dulu kan?"
"Saya kerja dengan *****. Macam susuh je nak terangkan. Boleh faham ke? Hehe. Jadi, kena panggil abang senior la ni?"
Kami bertukar cerita... dalam 24jam... Kami telah bertukar nombor telefon; berborak dan mendengar suara.
Hanya selepas 3 hari berkenalan, kami berjumpa.
26 September 2009 tarikh keramat.
Di bawah sepohon pokok besar dihadapan rumah sorang kenalan....
Aku bersama kereta aku menunggu penuh debaran disitu... menunggu dia keluar...
Aku gementar... takut juga kalau diperdaya... pengalaman lalu mengajar aku berwaspada...
Soalan pertama yang aku tanya, "mana lesen?"
Maka dia pun menunjukkan lesen international nya( dia baru pulang dari belajar dan bekerja di England)... aku dengan selamba bertanya...
"Mana lesennya? Ini kad pengenalan antarabangsa.."
Dia menjawab dengan yakin, "ada dalam chip tu."
Tidak ku sangka itu lah pertanyaan pertama yang tidak begitu romantis... di pertemuan pertama... dia dengan tenang memasuki kereta dan memanduku ke kedai makan berhampiran...
Kami duduk dan bersembang.. sambil aku minum milo dan dia bersama roti canai kegemarannya... selesai disitu... aku membawanya pulang ke rumah untuk dikenalkan kepada keluarga... dia berborak sambil menonton perlawanan bola bersama abang-abangku...
Tanggal 5 Disember 2009, aku dirisik... kemudian kami bertunang pada 1 Januari 2010 dan alhamdulillah bernikah pada 13 Jun 2010...
Segalanya pantas... namun aku bersyukur dipertemukan jodoh dengan dia...
Kini aku bergelar isterinya... akan aku abadikan segalanya untuk suamiku...
Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."
Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya.
Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya.
Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.
Semoga perkenalan di Facebook kekal hingga ke syurga.. aku berdoa kepada-Mu ya Allah.. "kekalkan jodoh ku bersama suamiku hingga ke syurga... jadikan lah aku bidadari suami ku di akhirat nanti..."
Ikhlas dari,
Isteri yang menyayangimu...
- Artikel iluvislam.com

Jika anda seorang lelaki

JIKA ANDA SEORANG LELAKI, fahamilah coretan pendek ini, bahawa hayat kita belum tentu panjang lagi.
Kita mungkin akan pergi terlebih dahulu daripada interi kita, kerana memang begitu fitrah kehidupan yang disusun
oleh Robbul Kholiq - secara umumnya kaum lelaki akan pergi dahulu selepas menumpahkan keringat, tenaga serta
kekuatan untuk menanggung kehidupan keluarga.

Wanita/ibu pula akan meneruskan hidup yang mereka mulakan dahulu dan kemudian menutupnya, kerana
mereka telah dibekalkan oleh Tuhan dengan suatu keajaiban, iaitu kesabaran, ketenangan, ketabahan serta
kasih sayang yang tidak terbanding.

Seorang lelaki, lahir dari seorang wanita, memerlukan wanita untuk hidup dan kemudian meninggalkan wanita
itu kerana " masanya begitu cepat sampai" . Seorang wanita, mereka melahirkan lelaki, menumpahkan seluruh
hidupnya untuk lelaki dan kemudian bersendirian meneruskan hidup ini selepas lelaki itu pergi pabila masanya tiba.

KEPADA ANAK-ANAK, tataplah wajah ibu dan ayah anda sekarang, kerana mungkin masa itu tidak berapa
lama lagi...........

Kedewasaan

Dulu, saya nak cepat-cepat jadi dewasaBoleh pakai kasut tumit tinggiBoleh melaram, mekap-mekap muka
Boleh cepat kerja, sebab org slalu tanya apa cita-citaBoleh pegi mana-mana saya sukaBoleh bercintaBoleh balik rumah lewat malamBanyak benda lah boleh buat kalau dah besar ni.
Lama-lama, baru saya perasan..Saya dah tak baca komik doraemon, tapi baca majalah cleoSaya dah tak main masak-masak tapi memang masak betul-betulSaya dah lama dapat kunci 21Saya dah boleh mengundiKahwin pun boleh, kalau saya nak.
Saya ingatkan best jadi dewasa niSaya boleh buat keputusan sendiri, kakak dan abang saya dah tak boleh marah sayaSaya bukan budak hingusan lagi tapi mahasiswi universitiUniversiti saya kat Eropah pulak tu, tak penah-penah saya fikir nak pergi overseasKalau pegi theme park, semua rides saya boleh naik, tiada halangan umur atau tinggiDulu saya buat karangan "Saya Seekor Nyamok" tapi baru-baru ni saya submit essay pasal forensic evidence in courts of lawDulu saya mintak papa beli komputer sebab nak main games, tapi sekarang saya beli komputer untuk buat assignments dan macam-macam.
Rupa-rupannya...Jadi dewasa ni...Kena matangKena professionalBanyak tanggungjawabBanyak masalah, lagi banyak dari masa remaja duluBanyak essay nak kene tulisBanyak pakai duitTak boleh emosional tak bertempatKena cari makan sendiriKena buat keputusan, keputusan, keputusan dan keputusanKena kawan dengan semua orang, biarpun tak sama minat dengan kitaKena berpada-pada kawan dengan berlainan jantinaAnd banyak lagi la kena,kena,kena,kena,kena dan kena..
Namun itulah sunnatullahSaya kena hadapi dengan redha dan tabah.
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah; 286)


Kecanggihan teknologi yang semakin meningkat

Sebelum zaman FB ada zaman Friendster dan Myspace. Orang sibuk bertanya "Patut ke tutup akuan MS/FS?"

Sebelum zaman MS/FS dan laman sosial lain, ada zaman YM/MIRC. ber-chatting dalam laman sembang. Ramai yang sibuk tanya "Patut ke tak terlibat dalam laman sembang/YM?"

Sebelum zaman MIRC, ada zaman e-mel. Berpuluh ribu orang sibuk tanya "Patut ke tak buat e-mel?"

Sebelum zaman e-mel, ada zaman surat menyurat. Ramai dok kecoh bertanya "Patut ke tak balas membalas surat?"


Sebelum zaman internet, ada zaman handphone. Satu bandar riuh kecoh bertelingkah "Patut ke tidak adahandphone?"

Sebelum zaman handphone, ada zaman TV dan radio. Seluruh isi kampung dok bising berdebat "Patut ke tak ada TV kat rumah?"

Memikul Nafsu

Suatu hari, seorang pemuda diserahkan oleh bapanya kepada seorang guru sufi untuk dididik cara mengawal nafsunya."Siapkan bekalan. Mari ikut saya bermusafir," kata guru sufi itu sebaik sahaja pemuda itu tiba di madrasahnya.Pemuda itu agak terkejut kerana dia masih keletihan akibat perjalanan yang jauh ke madrasah guru sufi itu."Apa yang perlu saya bawa?""Bawa pakaian sehelai dua," jawab guru sufi.Mereka pun memulakan perjalanan yang agak jauh. Setelah agak lama,mereka menemui satu bukit yang agak tinggi."Kita akan mendaki bukit ini."
"Mana jalannya?""Kita susuri jalan di tepi lereng bukit," kata guru sufi."Nanti, nanti... saya sangat keletihan. Alangkah baik jika ada keldai. Kita boleh menunggangnya.""Kamu hendak menunggang keldai? Baiklah, mari kita membelinya dahulu."Dalam hatinya berasa lega, dia tidak akan terpaksa berjalan lagi. Dia sangat-sangat keletihan. Setelah guru sufi membeli dua ekor keldai, dia pun berkata, "Sekarang ada dua ekor keldai. Saya akan menunggang salah seekor daripadanya...""Dan saya akan menunggang seekor lagi," pintas pemuda itu."Tidak!" kata guru sufi itu."Mengapa?""Jangan bertanya, patuh saja!"Pemuda itu terkejut, tapi tidak berani melawan."Habis, kita akan biarkan seekor keldai ini berjalan tanpa membawa apa-apa beban?""Tidak, sebaliknya kamulah yang akan memikulnya!""Memikul keldai menaiki bukit yang tinggi itu?""Ya. Pikul keldai itu dan naik ke atas bukit," jawab guru sufi itu pendek dan tajam.Maka dengan susah payah, dia memikul keldai itu sambil menyusuri jalan di tepi lereng bukit itu. Termengah-mengah. Dia benar-benar keletihan. Sebaliknya guru sufi bersantai-santai menaiki keldainya berjalan di hadapan pemuda itu. Belum sampai separuh perjalanan,pemuda itu pun jatuh keletihan. Dia hampir pengsan. Setelah merawat si pemuda dan memberinya minuman,guru sufi itu pun berkata, "Anakku,keldai itu umpama nafsumu. Allah ciptakan nafsu untuk kau menungganginya bukan kau ditunggangi olehnya.""Maksud tuan?""Dengan menurut nafsumu, kau akan disusahkannya. Jiwa, hati dan badanmu akan kelelahan. Kehendak nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Lepas satu-satu kehendak dan kerenahnya. Ini samalah dengan kau memikul keldai dan menaiki bukit yang tinggi."Pemuda itu terdiam."Sebaliknya, jika kau menunggangi nafsu dengan mengawal dan menguruskannya, kau akan mendapat kemudahan dalam menjalani kehidupan. Nafsu berguna selagi dia menjadi hamba tetapi apabila dijadikan tuan, apalagi tuhan, maka hidup kita akan dihancurinya.""Seperti saya yang memikul keldai tadi?""Ya. Dan lihat pula betapa mudahnya menyusuri jalan di lereng bukit itu dengan menaiki keldai. Begitulah nafsu apabila dikawal dan digunakan ke arah kebaikan.""Ya,ya. Orang yang mengikut perintah hawa nafsunya bagaikan memikul keldai menaiki bukit!"
PENGAJARAN: Nafsu adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal akan menyusahkan kita. Oleh sebab itu, kawallah nafsu bukan kita dikawalnya.


Calon syurga dan neraka

Sabda Rasul saw : "Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga." Sahabat bertanya : "Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw : "Sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga."
Hadis ini menjelaskan kepada kita calon syurga ialah mereka yang taat kepada Allah swt dan melaksanakan sunnah Rasulullah saw sementara calon neraka pula ialah mereka yang melanggar perintah Allah swt, melakukan maksiat dan mungkar serta derhaka kepada Allah swt dan Rasul-Nya .
Antara calon neraka ialah mereka yang melampaui batas agama. Tidak peduli dosa dan pahala. Mereka bertindak berasaskan nafsu dan syahwat.
Memburu kepentingan duniawi tanpa peduli halal dan haram. Demikianlah firman Allah swt :
"Maka adapun sesiapa yang melampaui batas (melakukan perbuatan yang ditaja oleh nafsu dan syaithan) dan terlalu kemaruk dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan akhirat maka sesungguhnya neraka jahannam lah tempat tinggal yang layak buat mereka."
Sementara calon syurga pula ialah mereka yang takut kepada Allah swt Tuhan yang Maha Agong. Tidak berani mengangkat muka untuk derhaka dan melanggar hukum Allah swt. Juga orang yang mencegah dirinya dari perangkap nafsu dan syahwah serta bebas dari melakukan perbuatan terlarang seperti rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya. Firman Allah swt :
".. dan adapun mereka yang takut kepada Tuhannya yang Maha Tinggi dan mencegah dirinya dari nafsu dan syahwah maka sesungguhnya syurga adalah tempat tinggalnya yang paling layak." (Surah an Naazia't : 38 - 41)
Tegasnya syurga tidaklah mudah untuk dimasuki melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt, justeru syurga hanyalah diwariskan kepada mereka yang bertaqwa. Taqwa dengan maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Allah swt.
"Demikian syurga yang kami wariskan dari kalangan hamba-hamba kami akan mereka yang benar-benar bertaqwa." (Surah Maryam : 63)
Sebahagian dari penegasan Al Quran sebagai kalamullah dalam menetapkan calon neraka dan calon syurga dapat kita lihat dari ayat ini :
".. bahkan mereka yang melakukan kejahatan (rasuah, judi, arak, zina, pecah amanah, zalim dan sebagainya) dan ia terus hanyut tenggelam dalam kejahatannya maka mereka adalah penghuni neraka, mereka pula kekal di dalamnya sementara orang-orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, merekalah penghuni syurga, mereka pula kekal di dalamnya." (Surah Al Baqarah : 81)
Ayat-ayat di atas, bolehlah dinilai oleh setiap individu, bagaimana keadaan kita.
Ia pasti sahaja melewati batas sempadan parti politik dan kepentingan suku kaum.
Siapa jua yang tidak melandasi hidup berasaskan manhaj rabbani dan sunnah an nabawi maka ia sendiri tahu bagaimana nasib dan masa depannya di akhirat kelak.
Selebihnya menjadi milik mutlak Allah swt untuk menetapkan keputusannya berkait syurga dan neraka.
Namun tidaklah salah jika kita menyebut kalau kamu buat begini jawabnya neraka dan kalau kamu buat begini tentunya syurga balasan ke atas kamu.
Seperti kita menyebut kepada anak kita, "Hei Awang! Jangan mencuri nanti kamu masuk neraka" atau sebaliknya "Hei Awang! Sembahyanglah kalau kamu nak masuk syurga."
Tentu tidak salah perkataan-perkataan tersebut justeru ia bermaksud untuk mendidik anak bukan menentu syurga atau neraka buat sang anak.


Kisah Habil dan Qabil

Sebuah kisah dicatatkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran untuk menjadi pelajaran untuk umat manusia sepanjang zaman. Habil dan Qabil adalah dua beradik. Mereka berdua merupakan anak kepada nabi Allah Adam a.s.
Namun mereka berdua bergaduh bukan kerana perkara dunia tetapi kerana ibadah seorang daripada mereka diterima Allah dan seorang lagi ditolak.
Pada zaman itu Allah s.w.t menentukan peraturan dalam persembahan untuk memperdekatkan diri kepada Allah. Mengikut riwayatnya jika persembahan  itu diterima Allah s.w.t, akan datang api dari langit yang akan menjilatnya.
Itulah peristiwa yang berlaku kepada Qabil dan Habil. Oleh kerana Qabil mengemukan persembahan yang disebut qurban yang tidak elok, lalu qurbannya tidak diterima Allah s.w.t.
Allah s.w.t menerima persembahan Habil dan menolak persembahan Qabil. Kejadian itu menyebabkan Qabil dengki kepada Habil dan membunuhnya.
Begitulah pengajaran yang boleh kita belajar disini. Kadang berlaku persaingan keji oleh kononnya satu pertubuhan dakwah terhadap pertubuhan dakwah yang lain, sanggup melakukan apa sahaja usaha untuk mematikan dan menghalang perkembangan pertubuhan yang lain.
Ia bukan kerana merebut harta dunia, tetapi dengki melihat pertubuhan lain lebih maju, berkembangan dan diberkati oleh Allah dari pertubuhnnya. Lalu ia melakukan berbagai ikhtiar untuk mensabotaj kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh kumpulan lain. Ini akhlak pendokong dakwah yang mewarisi akhlak datuk mereka Qabil.
Qabil sepatutnya memperbetulkan amalnya dan mengemukan amal yang berkualiti kepada Allah s.w.t supaya Allah menerima persembahannya, bukan berdengki dengan Habil dan bertindak membunuhnya.
Demikianlah sepanjang sejarah sifat orang hatinya berpenyakit,  sentiasa berdengki dan berusaha memusnahkan kejayaan orang lain,  bukan kembali kepada dirinya mengikhlaskan hati dan memberbaiki amalan supaya ia menjadi lebih baik dan diterima Allah.
Pengajaran yang menarik juga yang ditunjukkan dalam kisah ini ialah sikap Habil yang tidak mengikut rentak Qabil, "Kalau kamu hulur tangan untuk membunuhku, aku tidak akan menghulur tangan untuk membunuhmu."
Kita tidak perlu menghalang dakwah orang lain untuk kita berjaya... yang betul ialah bersihkan hati daripada sebarang penyakit hasad dan perbetulkan amal kita barulah persembahan kita berkembang dan diterima Allah s.w.t.


Orang kaya vs orang miskin

Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut toyota ini dilambung graviti. Ery duduk disebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio Perak, sekejap Kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.

Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor. Kelihatan beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk di situ. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar diluar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini. Tolol!

Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.

"Nak apa?!"

Dia terketar terkejut, sedikit berundur.

"Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng. Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!

"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku,tahulah macamana aku nak ajar kau!!"

Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu di tutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial!

Aku mengalihkan mata ke pantai. Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai,masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!

"Sudah nak!!" Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.

"Kenapa ni? Gila?!"

"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit," dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.

Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan. Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah.

Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi diluar sana. Lupakan saja..

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku meluat melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi berlagak seperti fakir. Mungkin..

Dengan rasa ragu, aku menghapirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

"Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?"

Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut. Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu per satu, perlahan-lahan dan terketar.

Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah.Ambillah semula, nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.

"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak.

Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.

Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. Cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.



Kita tahu....,tapi....

Kita tahu dunia sementara, tapi kita masih leka



Kita tahu qiamat dah nak dekat, tapi kita masih membuang masa



Kita tahu syurga itu amat indah, tapi kita masih nak kejar nikmat dunia



Kita tahu ujian tanda Allah s.w.t sayang tapi kita masih mengeluh,



Kita tahu menuntut ilmu itu ibadah, tapi macam tak rela jer pegang buku tu



Kita tahu apa yang kawan buat itu salah, tapi kita masih tak tegur(buat-buat buta?!)



Kita tahu nikmat kurniaan Allah s.w.t amat banyak, tapi asyik nak ‘komplen’ jer



Kita tahu kita nak rahmat Allah s.w.t, tapi kenapa masih mengharapkan pujian manusia??



Kita tahu kita boleh ke syurga atau neraka, tapi masih pilih neraka , “Ehh, betul ke??”



Kita tahu amalan kita akan ditimbang , tapi agak-agak yang mana berat lagi??



Kita tahu Allah s.w.t itu maha Melihat, tapi “Apa yang kita buat tadi??”



Kita tahu Allah s.w.t itu Maha Mengetahui, tapi kita masih dok ngumpat dalam hati,



Kita tahu ilmu agama kita sikit, tapi tak nak tambah lagi



Kita tahu kita boleh mati bila-bila masa tapi kita masih tak tobat lagi



Kita tahu …………tapi???



Di hari kebangkitan nanti apabila Tuhan bertanya, engkau nak jawab apa???!!



Aku tahu , tapi………………..??



Firman Allah s.w.t



“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan.Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu).Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya”Surah As-Syams ayat 9-10

Kisah Penjual Tempe

Di kawasan pedalaman tanah Jawa, terdapat seorang wanita bernama Jumilah.

Jumilah adalah seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan tempe.

Setiap hari Jumilah akan membuat tempe dan menjual tempe yang menjadi di pasar.

Pada suatu hari, seperti biasa Jumilah bersiap-siap untuk ke pasar, tetapi alangkah terkejutnya Jumilah apabila mendapati tempe yang dibuat dari kacang soya terpilih itu masih belum menjadi lagi dan tidak boleh dijual lagi.

Jumilah kebingungan, tidak keruan apa yang patut dilakukan.

Maka Jumilah menadah tangan memohon pada Tuhan agar tempenya itu menjadi kerana tiada yang mustahil bagi Tuhan untuk menjadikan sesuatu itu.

Setelah selesai berdoa, Jumilah menekan-nekan tempe-tempenya di dalam bungkusan kalau-kalau sudah menjadi.

Ternyata tempenya masih lagi belum menjadi.

Hari semakin cerah, maka sudah tentunya orang ramai sudah mulai mengunjungi pasar.

Jumilah masih lagi tidak berputus harap pada Tuhan malah dia membawa tempe-tempenya ke pasar dengan harapan akan berlaku keajaiban kepada tempe-tempe tersebut.

Jumilah tidak putus-putus berdoa agar tempe-tempenya menjadi apabila sampai di pasar nanti.

Sampai sahaja dipasar, Jumilah melihat tempe-tempe yang dijual oleh rakan-rakan penjual tempe yang lain hampir habis.

Jumilah tanpa lengah-lengah lagi berkemas-kemas membuka gerai dan dengan perasaan berdebar-debar memeriksa tempe-tempenya samada sudah menjadi atau tidak.

Ternyata seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih lagi belum menjadi.

Jumilah terduduk kesedihan dan memanjatkan doa pada Tuhan, "Ya Tuhanku, berilah jalan penyelesaian terbaik terhadap tempe-tempeku yang belum menjadi ini..."

Tiba-tiba terdengar seorang wanita memberi salam, "Assalamuailaikum... awak ada jual tempe yang belum menjadi tak?".

Terkejut besar Jumilah bercampur kehairanan apabila wanita tersebut ingin membeli tempe yang belum menjadi.

"Waalaikumussalam... errmmm... ada, sekejap ya," jawab Jumilah sambil mengeluarkan tempe-tempenya daripada bakul.

Jumilah berdoa di dalam hati, "Ya Tuhanku, jika Engkau telah menjadikan tempe-tempeku ini menjadi maka kembalikan tempe-tempeku seperti sediakala supaya aku boleh menjualnya kepada wanita tersebut".

Jumilah seperti tidak percaya apabila melihat tempe-tempenya masih belum menjadi.

Alangkah gembiranya hati seakan-akan seluruh alam turut merasai betapa syukurnya Jumilah dan lalu bertanya kepada wanita tersebut, "Kenapa awak mahu beli tempe yang belum menjadi ini?".

Wanita tersebut menjawab, "Saya mahu hantar tempe ini kepada anak saya yang berada di England, jadi apabila tempe-tempe ini sampai di sana, barulah cukup-cukup menjadi... baru ada umphhhh!!!"

Tamat.

Sahabat-sabahatku sekalian... belum tentu apa yang kita suka itu terbaik untuk kita dan belum tentu apa yang kita benci itu adalah terburuk untuk kita padahal sesungguhnya Allah s.w.t itulah yang Maha Mengetahui.

Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah s.w.t maka dijadikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Tiada yang mustahil bagi Allah s.w.t.


Kisah Balang Kaca

Seorang pensyarah di Kolej Safir yang bernama Dr. Izwan kelihatan sudah bersedia memulakan kelas falsafah beliau. Suasana di dewan kuliah sunyi sepi dan para pelajar nampaknya sudah bersedia mendengar syarahan daripada Dr. Izwan.
Kelihatan di atas meja Dr. Izwan terdapat sebuah balang kaca yang besar dan secawan air kopi yang sungguh harum aromanya. Tanpa berkata apa-apa, Dr. Izwan meletakkan beberapa biji bola golf ke dalam balang kaca tersebut sehingga penuh. Kemudian, Dr. Izwan bertanya, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
Para pelajarnya menjawab, "Ya, balang kaca itu sudah penuh."
Kemudian, Dr Izwan memasukkan beberapa biji manik ke dalam balang tersebut dan menggoncangkannya. Manik-manik tersebut mengisi ruang-ruang kosong di celah-celah bola golf di dalam balang tersebut. Dr. Izwan bertanya lagi, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
"Ya," jawab para pelajarnya.
Kemudian, Dr. Izwan mengisi pula balang tersebut dengan pasir pula. Dengan mudah pasir-pasir tersebut mengisi ruang-ruang yang masih ada di dalam balang kaca tersebut. Dr. Izwan tanpa segan silu bertanya lagi, "Wahai para pelajarku, adakah balang kaca ini sudah penuh?"
"Ya," jawab para pelajarnya yang nampaknya agak keliru dan terasa seperti diperbodohkan.
Kemudian, dengan yakin Dr. Izwan mengisi balang kaca tersebut dengan air kopinya. Kedengaran suara seperti orang ketawa kecil. Suasana di dalam dewan kuliah mula hingar-bingar seketika. Dr. Izwan sambil tersenyum sinis bertanya, "Adakah balang kaca ini sudah penuh?"
Para pelajarnya menjawab, "Ya, sudah penuh."
Seorang pelajar Dr. Izwan mengangkat tangan sambil bangun dan bertanya, "Kenapakah Dr. Izwan berbuat demikian?"
"Baiklah saya akan terangkan sebabnya... balang kaca ini melambangkan kehidupan kita semua. Bola golf itu pula melambang perkara-perkara yang paling penting yang perlu diisi ke dalam kehidupan kamu seperti agama kamu, amal ibadah, pelajaran, ibu bapa, keluarga dan sekiranya tiada perkara lain pun kehidupan kamu tetap juga penuh. Manik-manik kecil itu pula umpama perkara-perkara keperluan kamu seperti rumah, kereta, pangkat dan sebagainya. Begitu juga pasir tersebut melambangkan perkara-perkara kecil yang lain dalam kehidupan kamu," jawab Dr. Izwan dengan yakin dan gayanya yang tersendiri.
"Cuba kamu bayangkan jika balang kaca tersebut diisi bermula dengan pasir, sudah tentu ruang untuk bola golf dan manik amat terbatas. Begitulah juga kehidupan, jika kita hanya menghabiskan tenaga dan masa hanya kepada perkara kecil dan remeh... pasti dan pasti kita tiada lagi ruang masa dan tenaga untuk perkara-perkara yang penting dan bermanfaat," Dr. Izwan menyambung.
Tiba-tiba seorang pelajarnya bertanya, "Habis... air kopi tu melambang apa pula?"
Sambil tersenyum Dr. Izwan menjawab, "Walau sesibuk mana pun kamu semua, ketahuilah bahawa kamu masih lagi punya waktu untuk minum secawan kopi bersama ibu bapamu."
Wahai kawan-kawanku sekalian... jika kita berasa kehidupan ini terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan sehingga anda merasakan masa selama 24 jam itu tidak cukup... sebenarnya kitasilap!
Berfikirlah dengan akal berpandukan Iman di dalam hati... tentukan yang mana satukah prioriti. Jangan lupa fahami sedalam-dalamnya tafsiran surah Al-'Asr!

Memanfaatkan Internet Untuk Amal Soleh

Pada masa kini secara umumnya ramai yang telah didedahkan dan berkemahiran untuk menggunakan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Dengan kemudahan internet, semua kebaikan dan keburukan berada di hujung jari anda.
Terdapat tiga golongan yang menggunakan kemudahan internet ini :
Pertama : Golongan yang memanfaatkan kemudahan internet untuk menyebarkan, berkongsi atau menimba ilmu dunia dan akhirat, menambahkan pendapatan kewangan, merapatkan ukhuwwah sesama insan dan sebagainya. Semua itu boleh dimasukkan ke dalam senarai amal solehnya dan dia mendapat ganjaran untuk kebaikan dunia dan akhiratnya.
Kedua : Golongan yang menghabiskan masa berada depan komputer dengan bermain game, mendengar lagu, berborak kosong (chatting) dengan sesiapa sahaja, 'merayau-rayau' tanpa tujuan dan yang sewaktu dengannya. Waktunya dihabiskan berjam-jam tanpa sebarang faedah untuknya.
Ketiga : Golongan yang menggunakan internet untuk memuat naik dan memuat turun gambar-gambar tidak senonoh,melawati laman-laman porno, mengumpat, menyebarkan fitnah, melaga-lagakan manusia, menghasut sehingga memutuskan hubungan silaturahim dan  memusnahkan rumahtangga, berborak menggunakan bahasa kesat dan kasar, memuat naik gambar-gambar peribadi yang mendedahkan aurat dan banyak lagi aktiviti-aktiviti di internet yang mengundang laknat dan murka Allah SWT.
Bersama-sama kita bermuhasabah. Saya dan anda golongan yang mana? Sekiranya anda golongan yang pertama, anda hebat! Anda beruntung dan berbaloi walaupun dua atau tiga jam menghadap komputer.
Sekiranya anda golongan yang kedua, anda golongan yang rugi kerana masa anda dipersia-siakan tanpa sebarang faedah. Anda akan menyesal di akhirat nanti ketika berdepan dengan hisab amalan satu persatu termasuk masa yang kita habiskan.
Atau anda golongan yang ketiga? Awas! Dan hentikan tabiat buruk itu. Anda sedar atau tidak anda sebenarnya membuat koleksi dosa-dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Dosa mengumpat dan memfitnah zaman moden ini amat mudah dilakukan. Tidak perlu bersuara atau berkumpul ramai-ramai. Hanya dengan sekali klik dosa mencurah-curah menjadi milik anda.
Mudarat internet amat besar. Kerana internet  boleh menghilangkan maruah diri seseorang, boleh meruntuhkan rumahtangga, boleh memutuskan hubungan dua sahabat dan boleh meruntuhkan sebuah kerajaan.
Konklusinya, berhati-hatilah dalam menggunakan kemudahan internet. Manfaatkan kemudahannya untuk menjana amal soleh dan kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan kerananya menyebabkan kita menerima penghinaan dan azab yang pedih bila kembali ke kehidupan yang sebenar nanti.
- Artikel iluvislam.com